Assalamualaikum...
Nur Izzah.. begitulah nama yang diberi olehnya. Sesungguhnya apa yang dilalui sebelum ini menyebabkan aku sangat bersyukur kerana dia sudi menerimaku seadanya. Cintaku kepada Allah S.W.T melebihi segalanya. Kehadirannya menghadiahkan nama itu menambahkan cinta yang ada dalam hati ini. Sesungguhnya aku dipertemukan dengan dia kerana aku mencintai Allah S.W.T.
Aku memohon dan aku sering berdoa agar dialah yang akan membimbingku ke jalan yang lurus. Aku berdoa agar dialah yang membawa aku untuk lebih mencintai agama yang suci ini. Sesungguhnya aku mencintai dia kerana Allah S.W.T. Jika benar memang dialah jodoh ku di dunia ini, aku berdoa agar dia menjadi suami yang soleh untuk membimbingku dan anak-anak di masa depan.
Kini, aku lebih kuat kerana aku sudah yakin dengan apa yang aku lakukan. Inilah pilihanku. Sungguh besar dugaan untuk menemui cahaya-Mu yang sebenar Ya Allah. Namun ujian-Mu telah memberi kekuatan dan ketabahan yang tak terduga dalam diri ini. Terima kasih Ya Allah.
Sakitnya terasa di saat aku melepaskan cintaku yang terdahulu. Namun aku harus membuat pilihan. Aku sedar hidup di dunia ini hanya sementara, di akhirat jua yang berkekalan. Aku percaya Engkaulah yang Maha Berkuasa Ya Allah, maka tiada lagi alasan ku untuk ragu-ragu membuat keputusan. Walau airmata tetap mengalir dengan perpisahan yang berlaku namun aku gembira untuk sujud kepada-Mu Ya Allah. Sungguh ramai kata-kata orang di luar sana yang bisa menguji ketenangan dan kesabaran di hati, namun aku yakin dan redha dengan ketentuan-Mu Ya Allah. Doaku agar dia di sana akan mendapat hidayah dari-Mu jua.
Kerana tidak mahu mensia-siakan hidup, kini aku sudah membuka hati kepada insan yang menghadiahkan nama itu kepadaku.. NUR IZZAH... Dengan harapan dia membimbingku ke jalan yang benar.. ke jalan yang Engkau redhai... Sesungguhnya aku sekali lagi bersyukur atas kurniaan-Mu Ya Allah. Semoga keimanan di hati ini kian bertambah dalam melalui hari-hari yang mendatang, hari-hari yang terasa semakin singkat waktunya... hari-hari yang sepatutnya tidak disia-siakan oleh setiap makhluk di Bumi ini. Ya Allah, berikanlah aku ketabahan, ketenangan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan yang seterusnya. Semoga aku tidak tewas dalam usaha mendekati-Mu Ya Allah. Amin
No comments:
Post a Comment