Saturday, 3 March 2012

Kisah Seorang Ayah dan Anak Perempuannya

Assalamualaikum...

Lama juga Izzah tidak menulis sesuatu di sini. Kali ini Izzah ingin berkongsi satu mimpi yang pelik yang Izzah alami. Sesungguhnya ia juga seperti memberi peringatan buat Izzah sebagai wanita yang masih dilindungi oleh seorang lelaki bergelar ayah.

Semalam Izzah tidak sedar bila Izzah mula terlelap. Pada mulanya Izzah rancak berbalas mesej dengan buah hati. Tapi entah bila Izzah terlelap. Antara sedar dan tidak Izzah mendapat mimpi. Dalam mimpi tersebut, Izzah melihat seorang wanita yang berdiri di hadapan ayahnya. Izzah tidak dapat melihat jelas wajah wanita itu. Namun Izzah seperti tau bahawa ayah kepada wanita itu sudah lama meninggal dunia. Ayah wanita itu seolah-olah muncul semula di hadapannya dan memberi nasihat. Sungguh bersih pakaiannya.

Izzah tidak tau siapa wanita itu, malah Izzah juga tidak tau apa yang pernah dilakukan oleh wanita itu. Namun, dari suara ayah yang sayu memberi nasihat.. Izzah tau wanita itu melakukan kesalahan tertentu. Mendayu-dayu dan begitu sedih suara ayah itu memberi nasihat agar wanita itu berubah. Sungguh tersentuh hati ini mendengarnya.

Izzah melihat wanita itu tunduk dan tidak  lama kemudian dia mengangkat muka dan melihat ayahnya. Dia berkata sesuatu kepada ayahnya tapi Izzah tidak dapat mendengar jelas apa yang diperkatakan. Namun sebaik mendengar wanita itu berkata-kata, ayah itu tadi menangis hiba. Sayu sekali. Tiba-tiba kelihatan tubuh ayah itu terbakar bermula dari kaki. Ayah itu menangis lagi dan bertanya, "Kenapa kamu buat ayah macam ni?"..

Itulah yang jelas Izzah dengar. Si ayah menangis lagi dalam penderitaan akibat tubuh yang terbakar. Entah dari mana datangnya kepanasan yang membakar tubuhnya itu. Pakaian bersihnya tadi kian hangus bersama tubuh. Tangisan si ayah semakin menusuk hati Izzah yang melihatnya. Sebak rasa di hati. Wanita yang merupakan anaknya itu pula ketawa kuat tapi juga menangis pada masa yang sama. Entah apalah yang sebenarnya ada dalam hati dia.. Aku terjaga sebaik saja wajah ayah wanita itu lenyap dari pandangan.

Ya Allah.. kenapa aku mendapat mimpi seperti itu? Sesungguhnya aku percaya dengan kebesaran-Mu Ya Allah. Sebagai mualaf, aku memang banyak membaca dan aku pernah membaca bahawa dosa seorang anak perempuan selagi belum berkahwin akan ditanggung juga oleh ayahnya. Ya Allah, ampunkan hamba-Mu ini Ya Allah. Mungkin aku terlalu lalai dan melakukan dosa. Sesungguhnya aku tidak mau ayahku berada dalam keadaan seperti dalam mimpi itu. Aku tidak mahu menjadi seperti wanita dalam mimpi itu. Ya Allah akan ku selalu berdoa untuk kedua-dua ibu bapaku. Sesungguhnya aku amat menyayangi mereka Ya Allah. Terima kasih Ya Allah. Aku percaya ada hikmah di sebalik mimpi itu Ya Allah.

Semoga aku menjadi anak yang solehah.Amin.